Grafiti barisan hadapan

PARIS: Pelbagai cara dilakukan masyarakat dunia untuk mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik Covid-19.

Bagi artis grafiti Perancis, Cyril Kongo, dia menghasilkan lukisan grafiti sebagai tanda penghargaan kepada kakitangan kesihatan yang bertungkus-lumus memerangi wabak itu.

Viet Nam News melaporkan, anak seni kelahiran Vietnam itu menyampaikan pelbagai mesej dan pesanan motivasi menerusi lukisan grafitinya.

Beliau memilih Hospital Lariboisiere, sebuah kemudahan kesihatan di sini, yang sibuk selepas ramai penduduk di sekitarnya, dijangkiti Covid-19.

Hospital berkenaan terletak di kawasan yang dihuni golongan kelas pekerja dan imigran.

Hampir 170 kakitangan hospital itu juga disahkan positif Covid-19 pada April lalu.

Cyril akan menyembur pelbagai warna pada tangga, dinding dan tingkap hospital itu seterusnya menghasilkan grafiti.

Menerusi Instagram, Cyril berkata, dia sangat gembira dengan projek berkenaan dan penting untuknya menyumbang kemahiran seni kepada masyarakat.

“Saya sangat berharap projek ini mampu menceriakan dan memupuk kasih sayang kepada hero kita.

“Terima kasih atas kesungguhan anda,” katanya.

Ketika masih remaja, Cyril menghasilkan pelbagai hasil seni grafiti di seluruh Paris dan dia turut terkenal dalam bidang itu di Eropah sejak 2009.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19