Guna ular jadi pelitup muka

Manchester: Seorang lelaki mencetuskan panik apabila menjadikan ular peliharaannya sebagai pelitup muka ketika menaiki sebuah bas dari Swinton ke Manchester.

Portal Sky News melaporkan, reptilia milik lelaki berkenaan dilaporkan tidak mencederakan penumpang yang lain, namun lelaki terbabit tetap diberi peringatan kerana melakukan sesuatu yang boleh mengancam nyawa penumpang lain.

Seorang penumpang yang enggan identitinya didedahkan berkata, dia mulanya menyangka lelaki terbabit menggunakan pelitup muka bercorak ‘funky’.

“Rupa-rupanya, ia bukan pelitup muka tetapi ular yang melilit tangan dan menutup wajahnya.

“Ular itu tidak mengganggu saya mahupun penumpang lain. Cuma,tiada siapa yang berani merenungnya,” katanya.

Kisah itu mendapat perhatian selepas gambar lelaki berkenaan tular di laman sosial.

Jurucakap Hal Ehwal Pengangkutan Manchester, undang-undang kerajaan jelas menyatakan kesemua penumpang wajib memakai pelitup muka ketika menaiki pengangkutan awam selagi Covid-19 belum reda melainkan ada sebab tertentu iaitu faktor umur, kesihatan atau hilang upaya.

“Tidak semestinya pelitup muka perubatan tetapi penumpang juga boleh membuat sendiri atau memakai selendang bagi melindungi wajah mereka.

“Meskipun ada bermacam pemahaman mengenainya tetapi tidak perlu sehingga menggunakan ular sebagai pelitup muka,” katanya