Guru silap hantar video lucah ke kumpulan WhatsApp ibu bapa

Bali: Kumpulan WhatsApp yang disertai ibu bapa pelajar terkejut besar apabila menerima video lucah yang dihantar seorang guru dalam kejadian di Kintamani, Bangli di Bali.

Malah, video berkenaan tidak dipadam guru terbabit selepas tempoh dua jam menyebabkan ibu bapa murid naik angin kerana menyangka guru berkenaan sengaja menghantar video tidak sopan untuk tontonan pelajarnya.

Ketua Polis Bangli, Asisten Komisioner Sulhadi berkata, akibat kejadian berkenaan, guru itu dipanggil pihak polis dan diminta bertemu dengan ibu bapa pelajar.

“Guru itu mengaku tidak sengaja menghantar video berkenaan dan sudah meminta maaf kepada ibu bapa.

“Kes ini diselesaikan secara baik dan tidak dilaporkan untuk tindakan lanjut pihak polis,” katanya seperti dilaporkan Kompas.

Menurutnya, berdasarkan keterangan guru berkenaan, dia menerima video itu dari kumpulan WhatsApp lain namun, secara tidak sengaja telah berkongsi video itu ke kumpulan lain.

“Ketika itu, guru berkenaan sedang menyiapkan video berkaitan tugasan lukisan untuk pelajarnya.

“Selepas video itu selesai dirakam, guru berkenaan mahu menghantar video itu ke kumpulan WhatsApp yang disertai ibu bapa pelajar.

“Namun, secara tidak sengaja dia telah mengirim video tidak sopan itu,” katanya.

Katanya, guru berkenaan bagaimananapun tidak tahu cara untuk memadam video yang telah dihantar.

“Hampir dua jam video itu masih ada dan menyebabkan ibu bapa marah dengan apa yang berlaku serta membuat aduan ke pihak sekolah,” katanya.

Sulhadi berkata, pihaknya menasihati guru lain agar berhati-hati ketika mengirim sebarang video ke kumpulan WhatsApp kelas kendalian mereka.

“Sebelum menghantar apa-apa video, pastikan kandungannya terlebih dahulu.

“Guru juga diminta tidak menyimpan bahan pornografi dalam telefon pintar masing-masing. Jika ada yang menghantar, perlu dipadam segera,” katanya.