Habuan nafsu kenalan maya

Bandung: Akibat cuba memeras lelaki yang baru dikenalinya selepas melakukan persetubuhan, seorang gadis di daerah ini dicederakan dengan parang di kepala dan tengkuknya.

Portal Kompas melaporkan, mangsa berusia 16 tahun terbabit dicederakan lelaki yang dikenalinya di Facebook (FB) itu kerana meminta wang sebanyak 400,000 rupiah (kira-kira RM115) selepas mereka melakukan persetubuhan secara sukarela.

Ketua Polis Daerah Bandung Hendra Kurniawan berkata, mangsa dan suspek berkenalan di FB pada 15 November lalu.

Katanya, tidak lama selepas berkenalan, mangsa mengajak suspek bertemu di rumahnya sebelum mereka ke sebuah kebun teh di Kampung Patengan Rancabali, Bandung.

“Setibanya di lokasi, mangsa dan suspek melakukan persertubuhan dengan kerelaan, namun konflik berlaku apabila mangsa meminta wang daripada suspek sebagai balasan tetapi lelaki itu gagal memenuhi permintaannya.

“Sebagai ganti, mangsa meminta suspek menyerahkan telefon bimbitnya tetapi permintaan itu membuatkan lelaki berkenaan berang hingga mencederakannya dengan parang,” katanya.

Menurut Hendra, suspek memukul belakang kepala mangsa dengan bahagian parang yang tumpul.

“Tengkuknya (mangsa) turut dicederakan dengan bahagian parang yang tajam dan suspek kemudiannya melarikan diri bersama barangan milik mangsa.

“Namun, polis berjaya menahan suspek di Kampung Padamukti, Garut, Ahad lalu selepas keluarga mangsa tampil membuat laporan.

“Polis turut merampas barangan milik mangsa yang ada bersama suspek dan parang digunakan sebagai bahan bukti bagi kes berkenaan,” katanya.

Hendra berkata, suspek didakwa mengikut Akta Perlindungan Anak dan Kecurian dengan Kekerasan.

“Jika sabit kesalahan, suspek akan berdepan hukuman penjara antara lima hingga 15 tahun serta denda maksimum 5 miliar rupiah (kira-kira RM1,442),” katanya.