Haiwan zoo di Jerman jadi makanan

SEBUAH zoo di utara Jerman tidak menolak kemungkinan mengorbankan haiwan untuk diberi makan kepada haiwan lain.

Ia selepas Zoo Tierpark Neumunster itu mempunyai masalah kewangan sebaik negara itu melakukan kawalan pergerakan akibat pandemik Covid-19.

Business Insider melaporkan Pengarah zoo, Verena Kaspari mengesahkan pihaknya akan mengambil lankag berkenaan sebagai jalan penyelesaian terakhir.

“Jika keadaan bertambah teruk, dan kami tidak mempunyai wang membeli makanan haiwan, atau pembekal tidak dapat menghantar makanan berikutan kawalan pergerakan… saya terpaksa korbankan haiwan untuk diberi makan kepada haiwan lain,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Zoo seluas 24 hektar itu menempatkan 700 haiwan dan beruang kutub diberi nama Vitus yang juga beruang terbesar di Jerman dengan ketinggian tiga meter.

Tarikan pelancongan itu menerima 150,000 pengunjung setiap tahun dan bergantung kepada yuran kemasukan pengunjung untuk beroperasi.

Bagaimanapun, sumber kewangannya merudum sebaik kerajaan mengumumkan kawalan pergerakan dan menutup sempadannya bermula 15 Mac lalu.

Rabu lalu, kerajaan mengumumkan rancangan untuk membuka semula sebahagian perniagaan awam bagaimanapun, zoo tidak termasuk dalam senarai berkenaan.

Dalam pada itu, jurucakap Persatuan Kebajikan Haiwan Jerman, Lea Schmitz menolak dakwaan zoo ituberdepan kesukaran sehingga haiwan di situ kelaparan.

“Pemilik zoo perlu memikul tanggungjawab kepada haiwan mereka walau dalam apa jua krisis,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19