Hamas dan Israel capai kata sepakat

Gaza: Rundingan antara Israel dan Hamas dengan Qatar sebagai orang tengah bersepakat untuk mengurangkan konflik yang semakin memuncak di Semenanjung Gaza.

Agensi berita Anadolu melaporkan, Hamas pada Isnin menyatakan sudah mencapai persefahaman untuk ‘menghalang gerakan dan menghentikan pencerobohan Zionis’ ke atas Semenanjung Gaza.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan pejabat ketua kumpulan itu di Semenanjung Gaza, Yahya Sinwar susulan rundingan yang diterajui Qatar.

“Selepas berdialog dan perbincangan terakhir diterajui perwakilan Qatar, Duta Besar Mohammed Al-Emadi, persefahaman dicapai untuk menghalang gerakan dan menghentikan pencerobohan Zionis ke atas rakyat kita,” kata Sinwar.

Kenyataan itu menunjukkan bahawa situasi akan kembali seperti keadaan sebelum ini, sambil menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas usaha dan sokongan Qatar untuk rakyat Palestin di Gaza.

Setakat ini, tiada sebarang ulasan dari Tel Aviv mengenai kenyataan Hamas itu.

Bagaimanapun, rangkaian televisyen swasta Israel (13) melaporkan Tel Aviv dan Hamas sudah mencapai persefahaman termasuk menghentikan pelancaran belon api dari Semenanjung Gaza dan membuka sempadan.

“Zon penangkapan ikan di Semenanjung Gaza akan dibuka kembali, begitu juga dengan laluan Baitulmaqdis dan Erez,” katanya.

Serangan Israel di Semenanjung Gaza memuncak ekoran tindak balas terhadap serangan belon api yang dilancarkan rakyat Palestin di kawasan sempadan Israel.