Hampir 480,000 kanak-kanak di AS dijangkiti Covid-19

WASHINGTON: Hampir 480,000 kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan dijangkiti Covid-19 sejak pandemik itu bermula di negara berkenaan, lapor agensi berita Xinhua memetik laporan Akademi Pediatrik Amerika dan Persatuan Hospital Kanak-kanak.

Laporan itu menyebut, walaupun kanak-kanak hanya mewakili 9.5 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan berdasarkan usia, sejumlah 476,439 kanak-kanak diuji positif Covid-19.

Kadar keseluruhan adalah 631 kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak dalam populasi.

Sebanyak 70,330 kes baru membabitkan kanak-kanak dilaporkan dari 13 hingga 27 Ogos, peningkatan sebanyak 17 peratus dalam tempoh dua minggu, kata laporan itu.

Kanak-kanak adalah antara 0.6 hingga 4.1 peratus dilaporkan dirawat di hospital, manakala antara sifar hingga 0.3 peratus kematian Covid-19, menurut laporan itu.

“Ketika ini, penyakit teruk akibat Covid-19 jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

“Bagaimanapun, pihak berkuasa perlu terus menyediakan laporan lengkap berhubung kes Covid-19, ujian, kemasukan ke wad dan kematian mengikut usia bagi membolehkan kesan Covid-19 terhadap kesihatan kanak-kanak boleh didokumen dan dipantau,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19