Hampir sejuta penduduk Filipina diarah berpindah

Manila: Pihak berkuasa Filipina mengarahkan hampir sejuta penduduk berpindah hari ini, berikutan ribut kategori lima yang terkuat di dunia tahun ini menghampiri negara itu.

Taufan Goni dijangka membadai kawasan berkenaan pada hari esok dengan kelajuan 205 kilometer sejam, kata ramalan kaji cuaca negeri.

Ia tiba seminggu selepas Taufan Molave melanda wilayah berkenaan, mengorbankan 22 individu selain menyebabkan banjir di perkampungan bertanah rendah.

Sebelum ini, Filipina pernah dilanda Taufan Haiyan yang meragut 6,300 nyawa pada November 2013.

Perkhidmatan cuaca memberi amaran bahawa ribut dengan risiko ‘sederhana hingga tinggi’ bakal melanda.

“Angin kencang dan hujan lebat akan menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

“Usaha memindahkan penduduk semakin sukar kerana pandemik Covid-19,” kata jurucakap pertahanan awam, Alexis Naz.

Ketua Pertahanan Awam, Ricardo Jalad berkata, hampir sejuta penduduk di wilayah Bicol diminta mencari perlindungan termasuk di bahagian selatan, Luzon dan Catanduanes.

Maksimum lima individu dibenarkan berada dalam bilik perlindungan yang ditempatkan di sekolah.

Filipina adalah negara dengan jumlah jangkitan Covid-19 kedua tertinggi di Asia Tenggara, di belakang Indonesia.