Hanyut dari Hawaii ke Filipina

Manila: Seorang lelaki tidak menyangka papan luncur air miliknya yang hilang di Hawaii ditemui semula, selepas dua tahun.

Ia hilang papan itu dipukul ombak besar di Teluk Waimea sebelum hanyut 8,000 kilometer ke pulau terpencil, Sarangani di Filipina Selatan.

Selepas enam bulan, papan luncur air milik Doug Falter itu kemudian ditemui oleh seorang nelayan tempatan pada Ogos 2018.

Ketika ditemui, peralatan berkenaan rosak teruk.

Ia kemudian dibeli oleh seorang guru, Giovanne Branzuela pada harga 2,000 peso (kira-kira RM170) daripada seorang jirannya.

Rentetan kejadian, Branzuela melakukan pencarian di Facebook sebelum menghantar foto papan berkenaan kepada Falter.

Walaupun berada di lautan untuk tempoh lama, nama pembuat papan itu, Lyle Carlson yang berpangkalan di Hawaii masih dapat dilihat.

Carlson kemudian turut memuat naik foto berkenaan di Instagram.

The Guardian melaporkan, Falter yang dihubungi AFP menerusi Zoom merasakan ia adalah perkara yang lucu.

“Sejak dulu, saya rasa saya tidak akan menjumpainya (papan luncur air itu),” katanya.

Dalam pada itu, Branzuela tidak menyangka papan luncur air itu hanyut dari Hawaii.

“Saya seakan tidak mempercayainya,” katanya kepada AFP menerusi temubual telefon.

Menurut Branzuela, dia menyimpan hasrat untuk meluncur ombak di Hawaii.

“Tetapi buat masa ini, saya masih boleh menggunakan papan berkenaan. Saya akan menjaganya dengan sebaik mungkin,” katanya.