Harris sah calon Naib Presiden AS

Washington: Kamala Harris secara rasmi diumumkan sebagai calon Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) di Konvensyen Kebangsaan Parti Demokrat, pada Rabu.

Pemilihannya diumumkan oleh tiga saudara perempuan terdekatnya.

Dikenali sebagai ‘Momala’ oleh dua anak tirinya, senator berusia 55 tahun yang juga anak kepada imigran itu melakar sejarah sebagai calon Naib Presiden pertama yang bukan berkulit putih.

Harris adalah wanita berketurunan India dan Jamaica.

Ibunya, Shyamala berhijrah ke AS dari India sebelum menjadi penyelidik kanser yang disegani.

Shyamala bertemu dengan suaminya ketika mereka menyertai demonstrasi hak sivil di Berkeley, California.

Harris dalam ucapannya berkata, beliau tidak pernah menyangka akan berdiri pada acara berkenaan untuk dicalonkan sebagai Naib Presiden.

“Ketika ibu saya melahirkan saya di Oakland, dia mungkin tidak pernah membayangkan bahawa saya akan berdiri di depan anda semua dan berkata, ‘Saya menerima pencalonan sebagai Naib Presiden AS’,” katanya.

Pada konvensyen itu, pemilihan Harris diperkenalkan oleh adik perempuannya, Maya Harris; anak saudara, Meena Harris dan Ella Emhoff iaitu anak kepada suaminya Douglas Emhoff yang dikahwini pada 2014.

Emhoff kini mengambil cuti sabatikal bagi menyokong kempen isterinya.

Harris berucap di bilik konvensyen di Wilmington, Delaware yang menjadi ibu pejabat kepada kempen calon presiden mewakili Parti Demokrat, Joe Biden.

Acara pada tahun ini terpaksa diadakan secara maya berikutan penularan Covid-19.

Pada pemilihan November ini, Biden akan mencabar penyandang presiden, Donald Trump daripada Parti Republikan.

Sementara itu, sekiranya mengekalkan jawatan itu, Trump akan melantik semula penyandang naib presiden, Mike Pence untuk menggalas jawatan sama bagi penggal kedua.