Hasil gaun tema koronavirus

CHICAGO: Seorang remaja perempuan di Illinois, Amerika Syarikat (AS) menarik perhatian apabila menghasilkan gaun bertemakan Covid-19 dengan menggunakan 41 gulungan pita pelekat.

Keunikan gaun dihasilkan Peyton Manker, 18, turut menjadi bualan dan perhatian di media sosial.

Rekaan itu dihasilkan untuk peraduan Stuck at Prom yang menawarkan hadiah biasiswa AS$10,000 (RM42,875).

Acara tahunan itu mencabar pelajar sekolah di negara itu untuk membuat pakaian untuk majlis tari-menari dengan menggunakan pita pelekat.

“Saya memutuskan membuat gaun berunsurkan pandemik Covid-19 kerana saya tahu tiada siapa mampu menirunya.

“Saya tahu saya akan lebih menonjol jika mengetengahkan peristiwa yang berlaku di dunia,” katanya kepada Insider Magazine seperti dipetik portal Oddity Central.

Dia tidak pernah mempamerkan rekaannya itu.

Namun, perkongsian ibunya, Suzy di Facebook membuatkan hasil kerjanya menjadi perhatian dan menerima ucapan penghargaan dari seluruh dunia.

“Saya tidak percaya ramai mula berkongsi foto gaun rekaan saya dan sukakannya.

“Saya bersyukur mendapat banyak sokongan daripada ramai orang,” katanya.

Bagaimanapun, penganjur akan mengumumkan pemenang acara itu pada 21 Julai ini.

Gaun berkenaan menampilkan elemen motif koronavirus. Ia termasuk petugas barisan hadapan memakai pelitup muka, virus Covid-19 dan gambaran lelaki kebingungan bagi mewakili individu bergelut dengan masalah mental ketika waktu sukar ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19