Helikopter bertembung, 9 maut

Kabul: Sembilan terbunuh selepas dua helikopter tentera Afghanistan bertembung di udara sebelum terhempas, di wilayah Helmand selatan Afghanistan pada Selasa malam, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan pada Rabu, nahas itu berlaku di daerah Nawa-i-Barakzayi membabitkan dua helikopter jenis Mi-17 Angkatan Tentera Afghanistan.

“Malangnya, sembilan penumpang maut dalam nahas itu. Kementerian Pertahanan sedang menyiasat kejadian itu,” tambah kenyataan itu.

Terdahulu, media tempatan melaporkan 15 orang terbunuh dalam kemalangan di wilayah yang terletak 555 kilometer ke selatan Kabul.

Wilayah itu menjadi lokasi pertempuran sejak kebelakangan ini selepas ratusan militan Taliban dari dua wilayah jiran bergabung dengan militan tempatan dalam percubaan untuk menawan bandar Lashkar Gah.

Pada 24 September, helikopter Tentera Udara Afghanistan terhempas selepas mengalami masalah teknikal dalam kejadian di utara wilayah Baghlan, mengorbankan dua juruterbang.