Hero cilik terima perisai Captain America

Washington: Seorang kanak-kanak di Wyoming, Amerika Syarikat menerima kejutan istimewa apabila bakal menerima perisai yang digunakan oleh watak adiwira Marvel, Captain America.

Ia sebagai tanda penghargaan dan sokongan atas keberanian Bridger Walker, 6, yang bertarung nyawa kerana menyelamatkan adik perempuannya berusia empat tahun daripada serangan anjing.

Lebih manis, ia dihadiahkan sendiri oleh bintang yang melakonkan adiwira berkenaan iaitu Chris Evans.

Evans dalam pesanan video mengucapkan tahniah kepada kanak-kanak itu selain mengesahkan akan memberi perisai Captain America itu kepada Walker.

“Saya membaca kisah anda dan saya lihat apa kamu lakukan. Saya juga pasti anda banyak kali sudah mendengar ayat ini sejak beberapa hari lalu, tetapi biar saya menjadi orang seterusnya yang memberitahu kamu.

“Adik, anda adalah seorang wira. Apa yang anda lakukan sangat berani, tidak mementingkan diri. Adik anda bertuah kerana mempunyai anda sebagai abang. Ibu bapa adik pasti bangga,” katanya seperti dilaporkan CNN.

Menurut Evans, dia akan mencari alamat Bridger dan menghantar perisai Captain America itu kerana kanak-kanak itu kerana dia layak untuk memilikinya.

Pada kejadian 4 Julai lalu, Walker parah ketika akibat digigit anjing ketika menyelamatkan adiknya daripada diserang anjing.

Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan ke rumah rakan.

Budak lelaki berkenaan parah sebelum perlu menjalani pembedahan dan menerima 90 jahitan di mukanya.

Dalam pada itu, Evans turut memberikan kata-kata semangat kepada kanak-kanak berkenaan.

“Teruskan menjadi seorang yang berani. Kita memerlukan lebih ramai orang seperti kamu,” katanya.

Sementara itu, kisah keberanian kanak-kanak itu tular dan turut mendapat perhatian daripada selebriti lain.

Ia termasuk Tom Holland yang melakonkan watak adiwira Spider-Man dan Mark Ruffalo yang melakonkan watak Hulk.

Selain itu, selebriti lain termasuk Hugh Jackman, Zachary Levi dan Anne Hathaway turut memuji keberanian kanak-kanak berkenaan.