Hero terhebat di Kazakhstan

ALMATY: Seorang anggota polis di Kazakhstan dinobatkan sebagai wira selepas terjun dari tingkat 13 sebuah bangunan hanya untuk menangkap suspek utama kes rogol.

Daily Mirror melaporkan Bakytzhan Bakirov, 36, terlalu berani untuk menangkap suspek berkenaan sehingga ‘terlupa’ risiko terjun daripada ketinggian itu.

Dia bernasib baik apabila terjatuh ke balkoni bangunan berkenaan.

Bagaimanapun, bapa enam anak itu patah kaki, tetapi usahanya tidak sia-sia apabila dia berjaya menangkap suspek berkenaan.

“Saya tidak memikirkan perkara lain ketika itu kerana hanya mahu menangkap suspek,” katanya.

Ketika kejadian, Bakirov dan rakan setugasnya, Meyir Nesipbay ditugaskan untuk ke unit flat di tingkat 13 di sebuah bangunan.

Rumah itu menjadi lokasi persembunyian suspek.

Menyedari kehadiran pihak polis, suspek bertindak melarikan diri sebelum terjun menerusi tingkap.

Tanpa teragak-agak, Bakirov sama-sama terjun kerana matlamatnya adalah menangkap penjenayah itu.

Menurut Bakirov, dia nekad berbuat demikian selepas suspek mahu membunuh diri dengan terjun dari bangunan berkenaan.

“Keluarga saya harta yang paling berharga dan disebabkan itu, saya tekad menangkap suspek untuk menghentikan perbuatannya.

“Ia bagi melindungi dua anak perempuan saya serta semua orang daripada terus menjadi mangsa suspek.

“Disebabkan itu, saya beranikan diri untuk terjun kerana suspek mahu membunuh diri. Ia boleh menyebabkan dia terlepas hukuman penjara,” katanya.