‘Hidup’ semula selepas dibunuh, rayu suami dilepaskan

Beijing: Seorang wanita di China yang disangka mati, ‘bangkit’ membela nasib suami yang didakwa ‘membunuhnya’.

Kekeliruan timbul apabila lelaki itu, Wang dari Xuyi, wilayah Jiangsu di timur China menyerah diri kepada polis dengan membawa ‘mayat’ isterinya itu selepas mendakwa menyebabkan kematian wanita itu.

Namun, apa yang mengejutkan wanita itu kembali hidup setibanya di balai polis berkenaan.

Dia sebaliknya merayu kepada polis menarik kes dan tidak mendakwa suaminya kerana yakin lelaki itu tidak berniat ‘membunuhnya’.

Malah, dia turut menjelaskan kepada polis, penyakit dialaminya, hipoglisemia membuatkannya pengsan.

Katanya, ketika dia pengsan, suaminya cuba menahannya daripada jatuh.

Bagaimanapun rayuan wanita itu tidak berjaya, apabila Wang baru-baru ini dijatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana melakukan ‘pembunuhan’ itu dengan sengaja.

Dilaporkan Global Times, pasangan itu kerap bertengkar kerana masalah kewangan teruk dialami mereka.

Laporan juga menyebut, Wang menderita penderaan dan keganasan rumah tangga daripada isterinya dalam tempoh lama.

Pada 5 Februari lalu, Wang mendakwa menjerut leher isterinya dengan wayar di rumah mereka.

Beberapa saat selepas itu, dia mendapati isterinya tidak bernyawa dan membawa ‘mayat’ wanita itu menggunakan kenderaan roda tiga elektrik ke balai polis.