Hilang bonus akibat herdik, tampar kakitangan tak minum arak

BEIJING: Akibat mengherdik dan menampar kakitangan baru yang enggan meminum minuman beralkohol, dua pengurus bank kehilangan bonus tahunan selepas dikenakan tindakan tatatertib.

South China Morning Post melaporkan, kejadian itu berlaku Khamis lalu ketika mangsa dikenali sebagai Yang makan malam di sebuah restoran di Beijing bersama rakan sekerjanya.

Insiden itu mendapat perhatian Bank Antarabangsa Xiamen selepas pekerjanya itu berkongsi pengalaman terbabit di laman sosial.

Menerusi hantarannya, Yang mengatakan menolak pelawaan pengurusnya dengan alasan tidak mengambil minuman alkohol sejak 10 tahun lalu.

Hantaran Yang turut menjadi bualan warganet yang mempersoalkan amalan meminum minuman beralkohol kerana ia seolah-olah menjadi sebahagian budaya kerja di China.

Bank Antarabangsa Xiamen menerusi satu kenyataan media membuat permohonan maaf bagi pihak kakitangannya berikutan insiden berkenaan.

Dalam kenyataan sama, insiden itu berlaku selepas Yang menolak pelawaan pengurusnya yang dikenali sebagai Luo untuk meminum minuman alkohol dan ia menimbulkan kemarahan lelaki itu lalu menamparnya.

Bukan setakat itu, seorang lagi pengurusnya yang dikenali sebagai Dong turut mengherdiknya di khalayak ramai kerana keengganan Yang untuk menurut permintaan mereka.

Sementara itu, Jabatan Sumber Manusia memaklumkan kedua-dua pengurus itu sudah diberi amaran dan dikenakan hukuman atas kesalahan yang dilakukan.

“Dong akan kehilangan bonus enam bulan gaji manakala tiga bulan untuk Luo,” katanya.

Amalan minuman alkohol dipercayai menjadi budaya kerja di China sejak sekian lama tetapi sering kali berakhir dengan menyebabkan pergaduhan, kecederaan serius dan juga kematian.

Tahun lalu seorang lelaki dari Fuzhou di wilayah Jiangxi, dipenjara seumur hidup kerana membunuh dan kejadian itu berpunca akibat perselisihan faham gara-gara minuman alkohol.