Hilang kaki angkara Covid-19

Los Angeles: Seorang pelakon teater di Amerika Syarikat (AS) terpaksa merelakan kaki kanannya dipotong kerana darah beku selepas tiga minggu dirawat kerana positif Covid-19.

Darah beku menjadi antara komplikasi akibat virus itu yang kini menimbulkan kebimbangan doktor di negara berkenaan.

Ia memandangkan situasi itu boleh berlaku kepada pesakit muda termasuk mereka yang tidak menunjukkan sebarang gejala.

South China Morning Post melaporkan Nick Cordero, 41, kini dikomakan selepas menjalani pembedahan bagi memotong kaki kanannya.

Dia masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di sini, kerana memerlukan bantuan mesin pernafasan.

Dalam pada itu, seorang doktor dari NYU Langone iaitu sebuah pusat perubatan di New York, Dr Shari Brosnahan berkata, komplikasi darah beku boleh menyebabkan darah tidak sampai ke anggota badan.

Beliau berkata, ia sering berlaku kepada pesakit yang menerima rawatan di ICU.

Namun, risikonya lebih tinggi terhadap pesakit yang sudah disahkan mengidap Covid-19.

“Saya mempunyai seorang pesakit berusia 40 tahun di ICU yang mempunyai darah beku pada bahagian jari. Dia akan kehilangan jarinya dan tiada sebab lain selain daripada virus berkenaan,” katanya seperti dilaporkan AFP.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19