Hipokrasi terdedah

Athens: Baru-baru ini, Greece mengecam hebat keputusan Turki menukar status bangunan ikonik, Hagia Sophia daripada muzium kepada masjid.

Ironinya, ia mendedahkan sikap hipokrasi negara itu. Ramai tidak sedar bahawa ada banyak monumen bersejarah tinggalan empayar Islam di Greece.

Kebanyakan masjid era Uthmaniyah itu terbiar, musnah dan digunakan untuk tujuan lain, sekali gus menenggelamkan sejarahnya.

Malah, sesetengah masjid diubah suai menjadi gereja manakala yang lain digunakan sebagai bar atau panggung wayang.

Misalnya, Masjid Hamza Bey di Thessaloniki dibina pada 1468 menjadi tempat sementara beribadah selepas negara itu mencapai kemerdekaan namun musnah beberapa tahun selepas itu.

Masjid dimiliki Bank Nasional Greece pada 1927 dijual secara tertutup sebelum dibahagikan kepada sebuah kedai dan panggung wayang dan pernah digunakan untuk tayangan ‘filem dewasa’ sehingga 1980.

Selain itu, Masjid Faik Pasha yang dibina pada abad ke-15 di bandar Narda diubah kepada gereja selepas berlaku perpindahan penduduk di antara antara Turki dan Greece pada 1923. Ia terbiar dan digunakan sebagai bar pada 1970.

Bukan itu saja, masjid dan bangunan bersejarah di bandar utama lain termasuk Athens, Ioannina, Giannitsa, Crete, Larisa dan Kavala turut menerima nasib sama.

Sementara itu, perubahan masjid kepada gereja turut berlaku di Sepanyol. Negara itu kaya dengan seni warisan Islam kerana pernah ditadbir empayar Islam antara abad kelapan hingga ke-11.

Masjid Cordoba yang lebih dikenali sebagai The Mosque-Cathedral of Cordoba, antara warisan Islam terpenting ketika pemerintahan Islam di Al-Andalus atau Semenanjung Iberia kini dijadikan tarikan pelancongan. Semenanjung Iberia merujuk kepada Sepanyol dan Portugal hari ini.

Ada bahagian daripada masjid ini kini masih digunakan untuk upacara keagamaan Kristian pada hari tertentu. Turut dikenali sebagai Mezquita atau masjid, ia masih mengekalkan seni bina Islam. Bagaimanapun, pengunjung beragama Islam tidak dibenarkan bersolat apabila di sini.

Masjid ini dibina ketika zaman Khalifah Umar dan pernah menjadi masjid terbesar di dunia. Ia ditukar menjadi gereja selepas kerajaan Kristian menakluk semula Semenanjung Iberia pada abad ke-13.

Rumah ibadat lain adalah Masjid di Istana Alhambra di Granada dibina pada 1308 diubah kepada gereja pada 1492 dan masih dibuka hingga kini kepada penganut Kristian sahaja.

Selain itu, masjid tertua di negara itu di Granada, Masjid al-Murabitin juga musnah teruk pada abad ke-16 dan dibina semula sebagai gereja dinamakan Alminar de San Jose.

Sementara itu, Cathedral of Saint Mary of the See di wilayah Seville dikenali sebagai gereja terbesar dunia juga muncul daripada kemusnahan Masjid Almohad

Masjid dibina pada 1182 itu musnah pada 1433 apabila wilayah itu ditakluk Kristian.

Masjid Bab Mardum dikenali sebagai Masjid of Cristo de la Luz, yang dibina di Toledo pada 999 juga diubah kepada gereja pada 1085 dan ketika ini menjadi tarikan pelancong.

Julai lalu, Mahkamah Tinggi Turki mengeluarkan keputusan membatalkan keputusan Kabinet negara itu pada 1934 bagi mengubah Hagia Sophia kepada muzium.