Houthi rekrut 7,000 kanak-kanak

Sana’a: Kira-kira 20,000 orang ditahan di ratusan penjara yang terdapat di kawasan di bawah kawalan militan Houthi di Yaman, lapor agensi berita Anadolu.

Maklumat itu didedahkan semasa simposium dalam talian anjuran gabungan hak asasi manusia, memetik agensi berita SABA.

Pengarah eksekutif Gabungan Yaman yang memantau pelanggaran hak asasi manusia, Mutahar Al-Badhiji, berkata negara itu melalui krisis kemanusiaan terburuk selama satu setengah tahun akibat tindakan militan Houthi.

Presiden pertubuhan pembangunan dan hak asasi manusia Temkin, Murad al-Garati pula berkata, kira-kira 20,000 orang ditahan di 790 penjara rasmi dan tidak rasmi di bawah kawalan Houthi.

Beliau berkata Houthi juga merekrut 7,000 kanak-kanak dan menanam periuk api di beberapa bandar menyebabkan 6,000 orang terkorban.

Yaman dilanda keganasan sejak 2014, ketika kumpulan Houthi menguasai banyak negara, termasuk di ibu kota Sana’a.