Hujan serbuk coklat

Olten, Switzerland: Switzerland memang terkenal dengan penghasilan coklat terbaik dunia namun siapa sangka ia juga terpilih menerima hujan serbuk coklat.

Penduduk kawasan perindustrian Olten, bandar di barat laut negara ini berdepan detik aneh apabila melihat hujan serbuk coklat beberapa hari.

Beberapa hantaran di media sosial menyaksikan penduduk berkongsi kejadian luar biasa itu. Malah, pihak berkuasa juga mengesahkan kejadian.

Bandar Olten lokasi yang menempatkan kilang pembuatan coklat Lindt & Spruengli yang menghasilkan produk di bawah jenama Lindt.

Pihak pengurusan Lindt & Spruengli mengakui punca kejadian berkenaan kerana masalah teknikal di kilangnya.

Katanya, kerosakan sistem penyejukan udara pada saluran pemanggang koko di kilang menyebabkan serbuk dilepaskan ke luar.

Angin kencang di kawasan itu sejak pagi Jumaat membawa serbuk coklat dari kilang ke kawasan perumahan berhampiran.

Kilang terbabit bertungkus-lumus menyelesaikan masalah pengudaraan itu dan menegaskan, serbuk itu tidak membahayakan manusia atau alam sekitar.

Di media sosial, penduduk turut membuat hantaran berbaur gurauan apabila mereka mahu berjalan di luar rumah bersama semangkuk susu dan bijirin sambil menadah serbuk coklat bertaburan.