Ibadat umrah, penerbangan antarabangsa masih digantung

JEDDAH: Arab Saudi menarik semula arahan perintah berkurung di negara berkenaan bermula pagi ini, kata Kementerian Dalam Negeri, pada Sabtu.

Perintah berkurung di seluruh negara berkenaan termasuk Makkah dan Jeddah dilaksanakan dengan penduduk hanya dibenarkan keluar rumah bagi mendapatkan barang keperluan.

Saudi Gazatte melaporkan, semua sektor ekonomi dan komersial juga dibenarkan untuk kembali beroperasi dengan syarat yang ketat, kata kementerian.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Hal Ehwal Tempatan dan Luar Bandar memaklumkan kedai gunting rambut lelaki dan salun wanita juga dibenarkan beroperasi bermula hari ini.

Bagaimanapun, ibadat umrah dan penerbangan antarabangsa kekal digantung buat sementara waktu sehingga notis lanjut diumumkan manakala sempadan darat serta laut terus ditutup.

Kementerian juga menggesa rakyat dan penduduk untuk memuat turun aplikasi Tabaud dan Tawakkalna untuk memudahkan arahan kesihatan berhubung Covid-19 diterima.

Kementerian turut menegaskan supaya penduduk terus mengamalkan penjarakan sosial dan perhimpunan lebih 50 orang tidak dibenarkan setakat ini.

Orang ramai juga perlu memakai pelitup muka sepanjang masa sekiranya berada di tempat awam dan mereka yang dikesan gagal berbuat demikian boleh dikenakan penalti.

Sehingga hari ini, Arab Saudi merekodkan 154,233 kes dengan 1,230 kematian manakala lebih 98,000 kini sudah disahkan pulih daripada pandemik berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19