Ibu, bayi, jururawat, terbunuh

Kabul: Sekurang-kurangnya 14 orang, termasuk bayi dan jururawat terbunuh selepas tiga lelaki bersenjata api menyerang sebuah hospital di sini, pada Selasa.

Tidak lama kemudian, militan Daish melancarkan serangan berani mati di satu majlis pengebumian komander polis di Nangarhar, timur Afghanistan, menyebabkan 24 orang maut dan 68 lagi cedera.

Militan berkenaan, menerusi mesej aplikasi Telegram, mengaku bertanggungjawab atas serangan di Nangarhar.

Bagaimanapun, mesej kumpulan berkenaan tidak menyebut atau merujuk serangan di hospital di Kabul.

Presiden Ashraf Ghani menyalahkan kumpulan Taliban dan militan Daish atas kedua-dua serangan berkenaan.

“Hari ini, kita menyaksikan kumpulan Taliban dan militan Daish menyerang hospital dan majlis pengebumian, di samping beberapa serangan lain di negara ini,” katanya menerusi siaran televisyen.

SEORANG mangsa serangan kedua dibawa ke hospital. FOTO AFP
SEORANG mangsa serangan kedua dibawa ke hospital. FOTO AFP

Pada serangan pertama, tiga lelaki bersenjata api menyerang Hospital Kebangsaan Barchi itu, ketika ramai ibu bapa membawa anak mereka untuk temujanji rawatan.

Bagaimanapun, mereka ditembak mati oleh pasukan keselamatan selepas operasi yang memakan masa lama.

“Mangsa maut termasuk ibu dan jururawat,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri.

Sekurang-kurangnya 15 orang turut cedera dan lebih 100 orang termasuk tiga warga asing diselamatkan.

Hospital itu terletak di kejiranan komuniti Hazara iaitu masyarakat minoriti Syiah.

Dalam pada itu, serangan kedua berlaku selepas pengebom berani mati meletupkan bom ketika majlis pengebumian berlangsung.