Implan payudara, betis sorok dadah

Bogota: Kecekapan Polis Columbia berjaya membongkar dan mematahkan cubaan kumpulan kartel dadah yang menggunakan wanita sebagai ‘alat’ bagi melindungi kegiatan mereka.

Oddity Central melaporkan, kumpulan dikenali dengan nama ‘The Surgeons’ dipercayai merekrut wanita untuk menjalani pembedahan implan pada bahagian payudara yang sebenarnya mengandungi kokain.

Ia dilakukan bagi mengelak mereka dicekup pihak berkuasa ketika membawa bahan terlarang itu di kawasan yang mempunyai pemeriksaan keselamatan.

Demi memastikan kelancaran misi mereka, kumpulan terbabit mengumpan wanita berkenan dengan menawarkan gaji lumayan sekiranya bersetuju menjalani pembedahan.

Menurut Pejabat Peguam Negara Colombia, wanita terbabit dikehendaki datang ke Sepanyol bersama dadah yang ‘dibawa’ bersama di dalam payudara dan juga betis mereka.

“Wanita itu dijanjikan pekerjaan dengan gaji yang baik di Eropah jika mereka setuju untuk menjalani pembedahan kosmetik itu.

“Prosedur pembedahan dijalankan di bilik operasi sementara iaitu dekat motel atau pangsapuri yang disewa.

“Pembedahan itu dilakukan oleh dua individu yang ada hubung kait dengan sektor kesihatan, pakar bedah di Hospital Cali, dan seorang lagi individu yang kononnya doktor tetapi tidak mempunyai kelayakan,” katanya.

Selesai pembedahan itu, wanita berkenaan diterbangkan menaiki penerbangan komersial ke Madrid.

Di situ, mereka akan dibawa ke bilik operasi bagi menjalani pembedahan semula untuk membuang prostesis yang dipenuhi alkaloid.

10 November lalu, portal tempatan, Diario Occidente melaporkan 10 anggota kumpulan kartel itu dipecahkan kepada beberapa pasukan susulan adanya siasatan dan operasi untuk melumpuhkan kegiatan mereka.

Berdasarkan bukti diperoleh pihak berkuasa secara rahsia menerusi telefon, pengawasan dan pemantauan e-mel yang mendapat kumpulan berkenaan sudah melakukan kegiatan itu sejak tiga tahun lalu.

Pengedar dadah kini dilaporkan semakin licik dalam melindungi kegiatan mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Julai lalu, Polis Itali berjaya mematahkan kegiatan menyembunyikan dadah di dalam biji kopi.