India bakal guna kertas uji Covid-19

New Delhi: Ujian Covid-19 berasaskan kertas lebih murah dan cepat bakal tersedia di seluruh India.

Perkembangan itu menyebabkan saintis berharap ia dapat membantu mengatasi penularan pandemik itu di negara berkenaan.

India mencatatkan lebih 7.5 juta jangkitan Covid-19, kedua selepas Amerika Syarikat.

Wabak itu merebak dari bandar raya yang padat seperti Mumbai ke komuniti luar bandar yang memiliki kemudahan perubatan yang terhad.

Ujian dinamakan Feluda yang dibangunkan secara tempatan itu menggunakan nama watak detektif dalam siri novel India terkenal.

Ia tak ubah seperti ujian kehamilan di rumah dan keputusannya boleh diketahui dalam masa satu jam.

Penyelidik optimis dengan kos dan kemudahan penggunaannya yang rendah dapat membantu membendung penyebaran Covid-19 di kawasan penduduk miskin dan terpencil.

“Ujian ini tidak memerlukan peralatan canggih atau tenaga kerja terlatih.

“Terdapat banyak kawasan terpencil di India di mana anda tidak mempunyai makmal canggih.

“(Ujian) akan lebih mudah digunakan, ia akan mempunyai lebih banyak penembusan,” kata pencipta bersama Souvik Maiti, seorang saintis di CSIR-Institut Genomik dan Biologi Integratif (IGIB) New Delhi.

India ketika ini menggunakan ujian RT-PCR untuk mengesan virus itu yang sangat tepat.

Tetapi ia memerlukan mesin makmal canggih atau ujian antigen yang dapat memberikan hasil hanya dalam beberapa minit dengan kos terhad tetapi ketepatan jauh lebih rendah.

Feluda seperti ujian berasaskan kertas murah lain akan dikembangkan ke negara lain menggabungkan ketepatan ujian PCR dengan kit antigen.

Ia menggunakan teknik penyuntingan gen CRISPR-Cas9, yang baru-baru ini penciptanya, Jennifer Doudna dan Emmanuelle Charpentier memenangi Hadiah Nobel dalam Kimia.

Feluda diluluskan oleh kerajaan dan Menteri Kesihatan Harsh Vardhan yang pada minggu lalu menyatakan ujian itu akan dilancarkan dalam beberapa minggu ke depan oleh konglomerat India, Tata Group.

Dengan perkembangan itu, India menjadi salah satu negara pertama di dunia yang mula menggunakan ujian sedemikian secara besar-besaran.

Harganya belum diketahui tetapi media tempatan mengatakan harganya sekitar 500 rupee (kira-kira RM28) iaitu satu perlima daripada kos ujian PCR di New Delhi.

Ketika ini, prototaip kertas ujian itu memerlukan mesin PCR untuk pemprosesan tetapi saintis kini berusaha untuk menghasilkan versi yang boleh menggunakan air liur dan calitan yang diambil sendiri oleh pengguna.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19