India bergelut pasaran gelap pelitup muka terpakai

New Delhi: Polis India sedang bergelut mengekang pasaran gelap penjualan pelitup muka dan sarung tangan perubatan terpakai berikutan orang awam berusaha mendapatkan perlindungan murah.

Polis di bandar Navi Mumbai berkata, pihaknya merampas 3.8 juta sarung tangan perubatan yang dicuci semula, dikeringkan dan dibungkus untuk jualan.

“Mereka mendapatkan 35 tan sarung tangan itu dari beberapa hospital dan sedang menyiapkannnya untuk dijual kepada pemborong pada harga terlalu rendah.

“Mereka berjaya menjual antara 6,000 hingga 10,000 sarung tangan dan sedang giat berurus niaga dengan pembeli untuk urusan penghantaran,” kata pegawai penyiasat, Subhash Nikam.

Kumpulan yang terdiri daripada empat individu itu berdepan pertuduhan penipuan dan membahayakan nyawa dengan menyebarkan penyakit berjangkit.

Permintaan terhadap peralatan perlindungan peribadi (PPE) terus meningkat khususnya selepas India mencatatkan 3.4 juta kes jangkitan dan lebih 60,000 kematian.

Pakar mengatakan India tidak melakukan ujian yang menyeluruh ke atas rakyatnya dan banyak kematian tidak direkodkan yang memberi gambaran bahawa angka sebenar adalah lebih tinggi.

Ramai rakyat India tidak mampu mendapatkan pelindung sebenar dan menggunakan cara lebih murah seperti sapu tangan atau skarf yang dililit pada mulut dan hidung.

Pihak berkuasa kesihatan di Bihar juga mengakui melakukan tangkapan beberapa kumpulan menjual pelitup muka terpakai yang dikutip dari tempat pembuangan sisa hospital.

Ribuan pelitup muka yang dibasuh dan dibungkus semula dirampas.

Malah, India turut berdepan pasaran pensanitasi tangan yang tidak menepati standard.

Sebelum pandemik itu muncul, India juga dikenali sebagai pasaran besar untuk peralatan perubatan terbuang, termasuk jarum suntikan sekali pakai yang menjadi punca penyebaran jangkitan seperti HIV dan hepatitis.