India laksanakan semula perintah berkurung

PATNA: Lebih 125 juta penduduk India kembali diletakkan di bawah perintah berkurung hari ini, di mana pihak berkuasa seluruh dunia masih bekerja keras mengawal pandemik berkenaan yang terus mencetuskan huru-hara dari Amerika hingga ke Asia.

Jumlah kes jangkitan di seluruh dunia kini mencecah 13.4 juta dan lebih 581,000 kematian dilaporkan.

India menyaksikan lebih 600 kematian dicatatkan dalam tempoh sehari.

Bihar, negeri yang sebahagian besarnya berstatus luar bandar dengan infrastruktur kesihatan yang lemah, diletakkan di bawah perintah berkurung selama 15 hari bermula tengah malam tadi, sehari selepas pusat teknologi maklumat (IT) Bangalore yang didiami 13 juta orang ditutup selama seminggu.

Semua sekolah, kelab, kuil dan perniagaan tidak penting di Bihar diperintahkan ditutup, namun aktiviti pembinaan dan pertanian dibenarkan terus beroperasi.

Susulan itu, jaringan pengangkutan awam dilarang beroperasi sementara kenderaan persendirian dibenarkan.

Ketua Menterinya, Pramod Sawant berkata terlalu ramai penduduk keluar untuk menghadiri majlis keramaian dan bertemu orang ramai di pesta hingga mereka kurang mengambil berat kesedaran mengenai pencegahan dan kepekaan terhadap Covid-19.

“Kami mendenda lebih 40,000 orang kerana tidak memakai pelitup muka, selain ramai ditahan kerana melanggar peraturan, namun mereka tetap terus berada di luar,” katanya kepada media tempatan.

Katanya, peraturan itu sukar dipatuhi semua orang kecuali mereka yang memahami perihal undang-undang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19