India lepasi 5 juta kes Covid-19

New Delhi: India kini bergelut untuk menangani penularan Covid-19 selepas jumlah kes positif di negara itu melepasi lima juta pada Rabu.

Ia sekali gus menjadi negara kedua paling terjejas akibat pandemik itu dengan 5.02 juta kes, berada di belakang Amerika Syarikat (AS) dengan 6.63 juta kes.

Penularan Covid-19 di India amat membimbangkan apabila dalam tempoh 11 hari, jumlah kes positif di India melonjak sehingga satu juta.

Selain itu, jumlah kes harian tertinggi direkodkan di negara itu adalah 97,570 iaitu pada 11 September lalu.

Pada peringkat awal, kes baharu di India mengambil masa 167 hari untuk mencecah satu juta.

Bagaimanapun, angka itu menjadi dua juta dalam tempoh hanya 21 hari berikutnya, sekali gus lebih pantas berbanding AS dan Brazil.

Selepas 29 hari lagi, India menjadi negara ketiga paling terjejas selepas AS dan Brazil.

Ia kemudian mengatasi jumlah kes Covid-19 di Brazil pada awal bulan ini.

Ketika ini, pihak berkuasa India mengadakan satu juta ujian saringan sehari.

Bagaimanapun, pakar berpendapat bahawa ia masih tidak mencukupi kerana angka kes baharu sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

India mempunyai populasi 1.3 bilion dengan banyak bandar besar serta jumlah penduduk yang amat padat.

Peningkatan luar biasa itu direkodkan meskipun India pernah menguatkuasakan sekatan pergerakan yang dilihat antara terketat di dunia, Mac lalu.

Antara lain, ia menggantung operasi pengangkutan awam dan menutup semua kilang dan perniagaan.

Langkah itu menyebabkan pekerja migran kehilangan pekerjaan dan terpaksa pulang ke kampung seterusnya menyebabkan penularan virus itu dari bandar ke kampung.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19