Indonesia bantu etnik Rohingya dapatkan kerja di Aceh

Aceh: Indonesia akan memastikan hampir 300 etnik Rohingya yang tiba di Aceh semalam berada dalam keadaan baik dan sihat di tempat perlindungan sementara menanti perbincangan untuk mendapatkan peluang pekerjaan di sana.

Ketika ini, pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan Indonesia bagi memberikan peluang pekerjaan kepada mereka.

Namun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Arakan Project, yang berpengkalan di Thailand bimbang mengenai ketibaan lebih ramai etnik Rohingya tahun ini yang didalangi sindiket penyeludupan manusia.

Malah, pihaknya juga yakin ada kapal yang akan bertolak dalam beberapa bulan akan datang khususnya pada waktu puncak sekitar akhir Oktober atau November.

Juru bicara Kementerian Luar Negeri, Teuku Faizasyah berkata kepada BBC Indonesia, kerajaan akan menggolongkan 297 etnik Rohingya sebagai pendatang tanpa izin.

“Mereka mengakui bahwa sebahagian dari mereka sudah berdaftar sebagai pelarian dari UNHCR di Bangladesh, namun masalah ini akan disahkan kerana dari status mereka, masuk ke Indonesia secara tidak sah,” katanya.

Menurutnya, ketika ini, perkara paling utama adalah memberikan bantuan logistik dan memastikan mereka dalam keadaan baik.

Wakil UNHCR di Indonesia, Ann Mayman berkata, seramai 119 dari etnik Rohingya yang datang ke Aceh kali ini sudah berdaftar sebagai pelarian dengan UNHCR Bangladesh, namun pihaknya perlu mengesahkan angka itu.

“Kami tidak boleh mengatakan dengan pasti bahawa mereka adalah pelarian kerana kami belum mengesahkan maklumat mereka secara terperinci.

“Namun, saya yakin bahawa mereka adalah sebahagian daripada 2,000 etnik Rohingya yang meninggalkan Bangladesh pada akhir Januari lalu,” katanya.

Menurut Chris Lewa dari Arakan Project, kumpulan seramai 297 orang ini adalah sebahagian daripada 800 pelarian yang melarikan diri dari Bangladesh menggunakan kapal besar pada akhir Mac lalu.

“Kumpulan ini cuba mendarat di Malaysia pada April namun, tidak dibenarkan masuk kerana kebimbangan terhadap Covid-19 yang memaksa mereka kembali semula ke lautan.

“Hal sama turut berlaku Jun lalu di mana 94 etnik Rohingya terdampar di Aceh selepas Thailand tidak membenarkan mereka mendarat.

“Kami percaya mereka ini adalah dari kumpulan yang sama dan seramai 30 orang dipercayai meninggal dunia dalam kapal sepanjang perjalanan mereka,” katanya.