Indonesia bimbang makin ramai Rohingya tiba

Jakarta: Indonesia bimbang berhubung peningkatan pelarian etnik Rohingya yang tiba di pantainya sejak kebelakangan ini ketika pihaknya masih bertungkus lumus memerangi pandemik Covid-19.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi meminta negara serantau berkongsi tanggungjawab menangani isu teras yang mendorong kepada krisis Rohingya itu bagi mendapatkan penyelesaian muktamad.

“Dalam tempoh dua bulan lalu, Indonesia menerima kira-kira 400 bot membawa etnik Rohingya dan kerana Myanmar adalah negara mereka, penghantaran pulang secara sukarela dan bermaruah harus dilaksanakan segera.

“Kerajaan Myanmar perlu menangani isu ini dan saya menggesa tindakan segera dilakukan secara selamat, sukarela dan lestari bagi menghantar mereka pulang ke Rakhine.

“Kami juga menggesa perkongsian tanggungjawab terutama dalam kalangan negara yang menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam isu ini,” katanya seperti dilaporkan Jakarta Post.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Serantau ASEAN (ARF), apabila membangkitkan kes di mana nelayan Indonesia menyelamatkan 395 etnik Rohingya di perairan Aceh pada 24 Jun lalu.

Krisis pelarian itu adalah antara beberapa perkara dibincangkan pada ARF secara maya yang berakhir baru-baru ini dengan Vietnam selaku tuan rumah, selain isu ketegangan di Laut China Selatan dan Semenanjung Korea.

Retno turut mengulangi pendirian Indonesia bahawa tindakan sementara negara itu menyelamatkan pelarian berkenaan adalah atas dasar kemanusiaan dan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Berdasarkan maklumat awal, mereka datang dari kem di Cox’s Bazar, Bangladesh dengan 119 daripada 296 orang mendakwa sebagai pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Kumpulan kedua seramai 296 etnik Rohingya tiba pada 7 September lalu dengan 191 daripadanya adalah wanita, kebanyakan mereka berusia di bawah 18 tahun dan mendakwa destinasi asal mereka ialah Malaysia.

“Namun, pelarian terbabit terkandas di tengah laut selama tujuh bulan akibat ribut dan negara lain enggan menerima kehadiran mereka,” katanya.

Katanya, pihaknya turut menerima laporan ada pelarian yang meninggal dunia selepas diselamatkan, kemungkinan akibat keletihan selain masalah kesihatan kerana berada terlalu lama di tengah laut dan bukannya kerana Covid-19.

Retno juga sependapat dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang mahu negara serantau turut bertanggungjawab dalam isu Rohingya tanpa hanya melepaskannya kepada Malaysia dan Indonesia.

Kira-kira 177,920 pelarian dan pemohon suaka politik berdaftar dengan UNHCR Malaysia termasuk 153,190 dari Myanmar merangkumi 101,320 etnik Rohingya, 22,510 etnik Chin dan 29,350 individu pelbagai kumpulan etnik lain.