Indonesia kaji status ganja sebagai tumbuhan ubatan

Jakarta: Kementerian Pertanian Indonesia akan mengkaji semula keputusannya sebelum ini yang mengklasifikasikan pokok ganja sebagai tumbuhan ubatan.

Kementerian itu dalam satu kenyataannya berkata, usaha itu sejajar dengan komitmen Menteri Pertanian Syahrul Yasin Limpo untuk membanteras penyalahgunaan dadah.

“Keputusan ini akan dikaji semula tidak lama lagi selepas kami bekerjasama dengan Badan Narkotik Nasional [BNN], Kementerian Kesihatan dan Institut Ilmu Pengetahuan Indonesia [LIPI],” kata pengarah bahagian tanaman dan perubatan Kementerian Pertanian, Tommy Nugraha dalam satu kenyataan yang dilaporkan Jakarta Post, hari ini.

Kenyataan itu susulan satu status yang dimuat naik oleh Nusantara Marijuana Network (LGN) berhubung perkara itu di akaun Instagramnya, @lgn_id.

Ia menyatakan keputusan Kementerian Pertanian negara itu berhubung status pokok ganja yang dimasukkan dalam senarai tumbuhan ubatan.

Dalam pada itu, Tommy berkata, keputusan kementerian pada Februari lalu berhubung perkara itu hanya bertujuan untuk membantu penanam ganja beralih kepada tanaman lain.

Katanya, ganja juga sudah dikategorikan sebagai tumbuhan ubatan di negara itu sejak 2006.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini, tiada penanam ganja berlesen di negara itu.

Ganja diharamkan di Indonesia dan Undang-undang Narkotik 2009 memasukkan tanaman itu sebagai kesalahan dadah, bersama-sama candu dan kokain.