Indonesia sedia laksana semula perintah berkurung

Jakarta: Indonesia akan melaksanakan kembali perintah berkurung atau mengetatkan lagi peraturan jika laporan kes Covid-19 meningkat, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Perkara itu diumumkan Presiden Joko Widodo (Jokowi) ketika mengadakan lawatan di Pejabat Pasukan Bertindak Covid-19 Kebangsaan di sini, pada Rabu.

Jokowi mengarahkan ketua wilayah yang melaksanakan fasa normal baharu membuat penilaian rutin situasi semasa di lapangan.

Katanya, terdapat risiko wujudnya titik panas virus baharu mahupun peningkatan jangkitan jika normal baharu dilaksanakan sebelum tiba waktunya.

Indonesia merekodkan 1,241 kes baharu Covid-19 pada 10 Jun, angka tertinggi dalam tempoh sehari.

Setakat ini, republik itu mencatatkan 34,316 jumlah jangkitan dengan 1,959 kematian dan 12,129 pulih.

Berdasarkan statistik kerajaan, 3.05 juta rakyat negara itu kehilangan pekerjaan setakat 2 Jun, kesan daripada pandemik berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19