Ini bukan ‘Keluang Man’!

Manila: Media sosial gempar apabila sekeping gambar keluang gergasi bersaiz badan manusia tular dan menjadi bualan hangat warganet.

Perkongsian pertama gambar itu dipercayai dari seorang pengguna Twitter dari Filipina, @AlexJoestar622 yang memaklumkan haiwan itu datang dari spesies giant golden-crowned flying fox.

Ramai memberikan maklum balas mereka tidak mengetahui kewujudan mamalia itu sebelum itu.

Perkongsian berkenaan meraih 103,000 ulang ciap, lebih 260,000 tanda suka dan ribuan komen.

Ramai juga warganet memberi maklumat tentang mamalia itu dan cuba menjelaskan keraguan orang ramai.

Pengguna Twitter @louistenantIV mengesahkan keluang itu spesies dari Filipina.

“Saya boleh sahkan, haiwan jenis ini mempunyai sayap lebar tetapi badannya tidak begitu besar, lebih kurang macam saiz anjing.

“Ia hanya makan buah-buahan terutama jambu. Ia juga tidak ganas,” katanya seperti dipetik portal Gulf News.

Giant golden-crowned flying fox juga dikenali sebagai keluang golden-capped Fruit adalah spesies keluang gergasi yang berasal dari Filipina.

Haiwan berkenaan adalah spesies terancam akibat penebangan hutan dan aktiviti pemburuan haram.