Iran catat kes baharu Covid-19 tertinggi dalam 24 jam

TEHRAN: Iran mencatatkan 3,574 kes jangkitan baharu Covid-19 hari ini, yang tertinggi pernah dicatatkan dalam tempoh 24 jam sejak Februari lalu.

Ia adalah hari keempat berturut-turut Iran mencatatkan jangkitan baharu melebihi angka 3,000.

Rekod tertinggi dicatatkan sebelum ini adalah pada 30 Mac lalu iaitu 3,186 kes.

Jurucakap kementerian kesihatan, Kianoush Jahanpour berkata, peningkatan jumlah kes baharu itu disebabkan ujian yang dilakukan secara meluas dan bukan gelombang kedua jangkitan.

Namun, kementerian kesihatan terus mengingatkan orang awam untuk melindungi diri dan mengamalkan penjarakan sosial.

Dalam tempoh 24 jam ini, 59 individu terkorban menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut akibat pandemik berkenaan di Iran seramai 8,071 orang.

Setakat ini, seramai 164,270 individu dilaporkan positif virus berkenaan.