Ireland laksana ‘partial lockdown’

Dublin: Ireland mengumumkan sekatan pergerakan separa (partial lockdown) yang dianggap paling ketat di Eropah bagi mengekang penularan Covid-19.

Pihak berkuasa menutup hampir sebahagian besar aktiviti ekonominya dan penduduk diminta berada di dalam rumah.

Selain itu, mereka yang mahu bersenam hanya dibenarkan melakukannya dalam jarak lima kilometer (km) dari rumah.

The Guardian melaporkan mulai tengah malam Rabu, negara itu memasuki peringkat kawalan pergerakan paling ketat untuk tempoh enam minggu.

Ia menyaksikan hanya kedai barangan keperluan dibenarkan beroperasi.

Kunjungan ke kediaman dan taman tidak dibenarkan, manakala perhimpunan dengan jumlah terhad hanya dibenarkan untuk perkahwinan dan majlis pengebumian.

Sementara, itu, pengangkutan awam hanya beroperasi dengan kapasiti 25 peratus.

Kerajaan akan mengumumkan denda bagi penduduk yang melanggar kawalan pergerakan ini.

Kedai yang bukan berasaskan keperluan seperti salun rambut, gimnasium dan pusat hiburan tidak dibenarkan beroperasi.

Selain itu, pub, restoran dan kafe hanya menyediakan makanan dan minuman untuk bawa pulang.

Perdana Menteri Ireland dalam ucapannya berkata, langkah itu bagi memastikan rakyat dapat menyambut Krismas pada tahun ini.

“Jika kita sama-sama menghadapi tempoh enam minggu ini, kita akan dapat menyambut Krismas dengan dengan lebih bermakna.

“Ia adalah satu perkara yang sukar tetapi masa depan terletak pada kita semua. Kita mesti berusaha sedaya upaya dan tabah,” katanya dalam nada yang suram.

Martin berkata, kerajaan menolak strategi sifar Covid-19 kerana ia adalah tidak realistik dan imuniti kelompok (herd immunity) adalah tidak beretika.

Justeru katanya, sekatan pergerakan untuk tempoh tertentu dicadangkan sebagai kebiasaan baharu.

“Kita berusaha untuk mengekang penularan virus ini dan berusaha untuk membuka semula aktiviti ekonomi dan sosial apabila selamat untuk berbuat demikian.

“Bagaimanapun, sehingga ada vaksin selamat, kita perlu meneruskan (tindakan yang diambil) sebelum ini,” katanya.

Setakat semalam, Ireland melaporkan 50,993 kes Covid-19 dengan 1,852 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19