Isi padu tasik glasier melonjak akibat perubahan iklim

Paris: Kajian berdasarkan data satelit mendapati isi padu tasik yang terbentuk susulan pencairan glasier akibat perubahan iklim di seluruh dunia, melonjak sebanyak 50 peratus dalam tempoh 30 tahun.

Pakar Geomorfologi di University of Calgary, Prof Madya Dan Shugar berkata, bukan semua air daripada pencairan glasier itu akan mengalir ke laut serta-merta.

“Sehingga kini, tiada data untuk menganggarkan berapa banyak ia tersimpan di dalam tasik atau air bawah tanah,” katanya dalam satu kenyataan.

Shugar yang juga seorang penulis berkata, penemuan yang diterbitkan dalam ‘Nature Climate Change’, semalam, bakal membantu saintis dan kerajaan di serata dunia untuk mengenal pasti potensi bahaya kepada masyarakat di kawasan hilir tasik.

Ia akan meningkatkan ketepatan anggaran kenaikan paras laut menerusi pemahaman lebih baik mengenai bagaimana dan berapa pantas air daripada pencairan glasier mengalir ke laut.

Berdasarkan kajian sebelum ini, glasier di seluruh dunia terutama di rantau pergunungan tinggi, berkurangan kira-kira 6.5 trilion tan antara 1994 hingga 2017.

Sementara itu, Profesor Iklim di Potsdam Institute for Climate Change Impact, Anders Levermann, memberitahu AFP bahawa dalam tempoh 100 tahun lalu, sebanyak 35 peratus daripada peningkatan paras laut global disumbangkan pencairan glasier.