Israel lancar serangan udara di selatan Syria

Baitulmuqaddis: Israel melancarkan serangan udara menyasarkan sasaran ketenteraan di selatan Syria, pada Isnin.

Ia selepas rejim itu mematahkan serangan di Bukit Golan.

Di Damsyik, media rasmi negara itu, Sana mendedahkan helikopter tentera Israel melancarkan roket dekat Quneitra di selatan negara itu.

Bagaimanapun, ia dikatakan hanya menyebabkan kerosakan.

Ia turut melaporkan pertahanan udara Syria sudah menggerakkan operasi berhampiran ibu negara itu.

Dalam pada itu, tentera Israel mendakwa jet pejuang, helikopter dan pesawat perang menggempur kedudukan tentera Syria.

Ia dikatakan sebagai tindak balas negara itu yang cuba memasang bahan letupan di Bukit Golan.

“Sasaran digempur termasuk menara kawalan dan sistem pengumpulan risikan; fasiliti meriam anti-pesawat; dan sistem kawalan dan pusat gerakan di pangkalan Angkatan Tentera Syria (SAF),” katanya dalam satu kenyataan.

Ketegangan antara Israel dan Syria kini memuncak.

Bulan lalu, helikopter Israel menggempur sasaran ketenteraan di selatan Syria sebagai tidak balas tembakan dilepaskan ke arah tentera rejim itu.

Israel tidak menyalahkan tentera Syria secara langsung atas insiden berkenaan, tetapi mendakwa Damsyik bertanggungjawab.

Pada Isnin, tentera Israel mendakwa membunuh empat lelaki yang cuba memasang bahan letupan di Bukit Golan.