Israel tetap mahu luaskan wilayah di Tebing Barat
Washington: Israel tetap mahu meneruskan rancangannya untuk memperluas wilayahnya dengan membina lebih banyak penempatan Yahudi di Tebing Barat.
AFP melaporkan Duta Amerika Syarikat (AS) ke Israel David Friedman berkata, ia meskipun akan menandatangani perjanjian damai dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Itu masih akan dilakukan, cuma pada masa ini ia akan ditangguhkan sehingga kita mencapai persetujuan damai,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Presiden AS, Donald Trump.
Media semalam melaporkan, Trump dalam satu pengumuman mengejut berkata, Israel dan UAE berjaya mencapai perjanjian damai.
Beliau menerusi Twitter turut menyifatkan ia sebagai perjanjian damai bersejarah membabitkan dua rakan baik dan satu satu pencapaian besar,
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Trump berkata, penyelesaian lebih diplomatik antara Israel dan jiran Islam mereka di rantau dijangka berlaku.
Menurutnya, beliau akan menjadi tuan rumah pada sidang kemuncak untuk menandatangani perjanjian damai yang bersejarah antara Israel dan UAE dalam tempoh tiga minggu lagi.
Israel sebelum ini mahu memperluas wilayahnya ke sebahagian besar Tebing Barat termasuk Lembah Jordan.
Ia sebahagian daripada janji kempen pilihan raya Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, sebelum ini.
Bagaimanapun, tindakan itu terhenti berikutan penularan pandemik Covid-19.
Pengkritik berpendapat bahawa Israel berusaha untuk mempercepat langkah berkenaan sebelum pemilihan Presiden AS pada November ini.