Israel, UAE bakal meterai perjanjian pengecualian visa

Baitulmaqdis: Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel akan menandatangani perjanjian untuk pengecualian visa, Agensi Anadolu melaporkan menurut media tempatan pada Isnin.

Rangkaian KAN News Israel berkata, perjanjian itu akan dimuktamadkan pada Selasa sambil menyatakan UAE menjadi negara Arab pertama yang membatalkan syarat visa untuk warga Israel.

Perjanjian itu bakal ditandatangani semasa upacara di Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion Tel Aviv, turut dihadiri Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Steven Mnuchin dan seorang menteri UAE.

Pada 15 September, Bahrain dan UAE bersetuju untuk menjalin hubungan diplomatik, kebudayaan dan komersial sepenuhnya dengan Israel setelah menandatangani perjanjian tersebut di Rumah Putih.