Isu Uighur: Hampir 40 negara desak China

New York: Amerika Syarikat (AS), Jepun dan banyak negara Kesatuan Eropah (EU) mendesak China supaya menghormati hak asasi minoriti etnik Uighur, di samping menyatakan kebimbangan mengenai situasi di Hong Kong.

“Kami menyeru China supaya menghormati hak asasi, terutamanya hak individu yang berasal dari etnik atau agama yang minoriti terutama di Xinjiang dan Tibet,” kata Duta Jerman ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Christoph Heusgen, yang mengetuai inisiatif pada mesyuarat mengenai hak asasi manusia itu.

Antara 39 negara yang menyokong usaha itu termasuk AS, hampir kesemua negara EU termasuk Albania dan Bosnia, di samping Kanada, Haiti, Honduras, Jepun, Australia dan New Zealand.

“Kami amat bimbang dengan situasi hak asasi manusia di Xinjiang dan perkembangan terkini di Hong Kong,” menurut deklarasi berkenaan.

“Kami menggesa China untuk memberikan akses tanpa gangguan terhadap pemerhati bebas bagi memasuki Xinjiang termasuk Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia,” tambah deklarasi berkenaan.

Sejurus selepas itu, wakil Pakistan bangun dan membacakan kenyataan yang ditandatangani 55 negara termasuk China, untuk tidak menggunakan perkembangan di Hong Kong sebagai alasan bagi mencampur urusan dalam negara China.

Dalam pada itu, Duta China ke PBB, Zhang Jun mengkritik apa yang digelarnya sebagai sikap hipokrit tiga negara berkenaan (AS, Jepun dan EU).

Organisasi Human Rights Watch memuji langkah negara yang menyokong deklarasi berkenaan meskipun berdepan dengan ancaman berterusan dan taktik menakut-nakutkan daripada China.

Pada 2019, draf seumpamanya yang diketengahkan oleh Britain tetapi ia hanya ditandatangani 23 negara.

Diplomat negara Barat sebelum ini berkata, China menggunakan tekanan supaya negara ahli PBB tidak menandatangani kenyataan berkenaan dengan mengancam tidak akan menghantar misi keamanan baharu di negara terbabit atau menghalang usaha mereka untuk membuka kedutaan di China.

Pada Isnin, China mengetuai 26 negara menerusi satu deklarasi bersama mendesak supaya sekatan AS dihapuskan yang didakwa melanggar hak asasi manusia dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.

Bulan lalu, Institut Polisi Strategik Australia berkata, pihaknya mengenal pasti terdapat 380 fasiliti iaitu pusat tahanan di wilayah Xinjiang, di mana China dipercayai menahan lebih sejuta ektnik Uighur dan penduduk lain yang bertutur bahasa Turki.

Di AS, Dewan Perwakilannya meluluskan usul untuk mengharamkan import dari Xinjiang, atas semua produk dari wilayah itu mungkin dihasilkan dengan menggunakan tenaga buruh paksa selepas mengambil kira mengenai isu berhubung hak asasi ektnik Uighur.