Itali kibar bendera separuh tiang

Rom: Itali bertafakur selama seminit dan mengibarkan bendera separuh tiang bagi menghormati 11,591 korban pandemik Covid-19.

Negara dengan 60 juta penduduk itu mencatatkan satu pertiga daripada jumlah keseluruhan mangsa yang maut akibat virus berkenaan di seluruh dunia.

Tempoh ini juga menjadikan Itali mencatatkan kematian lebih banyak daripada mana-mana bencana sejak Perang Dunia Kedua.

Virus berkenaan pertama kali dikesan di Milan penghujung Februari lalu sebelum ia merebak sehingga kini.

Setakat ini, seramai 4,000 penduduk menerima rawatan rapi akibat Covid-19 do negara berkenaan.

Datuk Bandar Rom, Virginia Raggi berkata, virus berkenaan disifatkan sebagai ‘kecederaan yang menyakitkan seluruh negara’.

“Kita akan menghadapi (keadaan) ini bersama-sama,” katanya selepas satu acara bacaan doa oleh paderi bagi memperingati mangsa yang terkorban.

Vatican City juga mengibarkan bendera kuning dan putihnya separuh tiang sebagai solidariti terhadap mangsa korban Covid-19.

Semalam, Itali mencatatkan 812 kematian manakala, Jumaat lalu angka yang dicatatkan disifatkan terlalu menyedihkan dengan 969 mangsa maut dalam tempoh 24 jam, jumlah tertinggi dicatatkan sejak virus ini tersebar akhir tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19