Itali rekod kematian terendah dalam tempoh enam minggu
Rom: Itali pada Sabtu melaporkan 415 kematian baharu akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, peningkatan harian terendah sejak 18 Mac lalu, sekaligus memberi isyarat menggalakkan.
Agensi berita Xinhua melaporkan pada Jumaat lalu angka kematian dicatatkan seramai 420 orang.
Jumlah keseluruhan korban ialah seramai 26,384 sejak wabak mula merebak di utara Itali, awal tahun ini.
Jumlah kes aktif pula 105,847 menurun sebanyak 680 berbanding hari sebelumnya, iaitu penurunan keenam berturut-turut.
Daripada jumlah kes positif, 2,102 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (turun sebanyak 71 pesakit berbanding hari Jumaat), 21,533 dirawat di wad biasa (turun 535 pesakit), selebihnya 77.7 peratus dikuarantin di rumah.
Seramai 63,120 pesakit pula sudah pulih setakat ini.
Pada 10 Mac lalu, Itali menguatkuasakan sekatan pergerakan di seluruh negara dan dijangka hingga 3 Mei depan. Selepas itu, langkah pencegahan “Tahap Dua” akan diperkenalkan dengan menyaksikan aktiviti sosial dan ekonomi disambung semula secara berperingkat.
Terdahulu, Pesuruhjaya Khas Darurat Covid-19, Domenico Arcuri berkata ujian darah untuk mengesan antibodi akan bermula pada 4 Mei.