‘Jangan tanya saya. Tanya China.’

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump secara tiba-tiba menamatkan sidang media selepas menerima satu soalan daripada wartawan Asia-Amerika.

Beliau sebaliknya memberitahu wartawan berkenaan: “Jangan tanya saya. Tanya China.”

Terdahulu, Trump pada sidang media di Rose Garden, White House berkata, AS mendahului dunia dari segi ujian pengesahan Covid-19.

Bagaimanapun, wartawan CBS News, Weijia Jiang kemudian bertanya mengapa Trump berulang kali menyatakan sedemikian.

“Adakah ini penting? Apakah ini satu pertandingan kepada anda sedangkan setiap hari rakyat AS meninggal dunia dan kes (Covid-19) semakin meningkat,” kata wartawan itu.

Trump kemudian berkata: “Kehilangan nyawa berlaku di seluruh dunia. Mungkin, anda perlu bertanyakan soalan itu kepada China dan boleh mendapat jawapan luar biasa”.

Jiang kemudian bertanyakan: “Adalah jawapan itu ditujukan kepada saya?”

Ia dibalas oleh Trump: “Saya tidak merujuk kepada sesiapa pun. Saya hanya merujuk kepada orang yang bertanyakan soalan jahat seperti itu.”

Trump dikritik kerana gemar untuk menjawab soalan secara kasar kepada wartawan wanita dan wanita bukan berkulit putih pada sidang medianya.