Janji ada gaya!

New Delhi: Tanpa mengetahui sejauh mana keberkesanannya, seorang lelaki dari Pune, India sanggup membelanjakan wang sebanyak 14,200 dirham (kira-kira RM16,576) hanya untuk membeli pelitup muka logam yang disadur dengan emas.

Gulf News melaporkan kisah lelaki bernama Shankar Kurade itu bukan saja menjadi tajuk berita utama tetapi turut tular di laman sosial.

Menerusi ciapan yang dimuat naik Asian News International (ANI) pada 4 julai lalu, Kurade dipetik berkata, dia sendiri tidak pasti sama ada pelitup muka dibelinya itu berkesan atau tidak untuk mencegah dirinya daripada ancaman Covid-19.

“Pelitup muka ini nipis dan mempunyai lubang jadi tidak sukar untuk saya bernafas. Namun, saya tidak pasti sama ada pelitup muka ini membantu,” katanya.

Seorang pengguna Twitter bernama @Star_Fisheries menerusi ciapannya berkata, “Aksesori terbaharu di pasaran, pelitup muka diperbuat daripada emas.”

Katanya, bukan semua akan menjadi peminat kepada alat berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Twitter, @ati_chill menerusi ciapannya berkata; “Duit boleh beli segalanya kecuali logik akal.”

Pengguna Tiwtter, @MoharirAdvait mempersoalkan rekaan pelitup muka itu, “Jika hendak menghasilkan pelitup muka daripada emas sekalipun, pastikan rekaannya nampak bergaya.”

Difahamkan, Kurade bukanlah individu pertama yang membeli pelitup muka diperbuat daripada logam.

Sebaliknya, Sandeep Sagaonkar iaitu tukang barangan kemas dari Karnatak pernah menghasilkan alat sama disadur dengan perak untuk koleksi perkahwinannya.