Jantung tercampak dalam nahas heli

Los Angeles: Menakjubkan apabila jantung yang didermakan seorang individu terselamat meskipun helikopter yang membawa organ itu terhempas.

Malah, organ berkenaan tetap berdenyut sebelum dibawa ke bilik pembedahan untuk dipindahkan kepada penerima baharu.

AFP melaporkan, sebelum kejadian, helikopter berkenaan membawa organ itu dari sebuah hospital ke Hospital Keck di sini.

Bagaimanapun, ketika hampir mendarat, helikopter terbabit terhempas berhampiran helipad.

Anggota bomba dilihat mengambil jantung berkenaan dan menyerahkannya kepada seorang kakitangan perubatan.

RAKAMAN kejadian yang tular. FOTO Agensi
RAKAMAN kejadian yang tular. FOTO Agensi

Bagaimanapun, babak penuh dramatik terjadi apabila kakitangan perubatan itu pula terpijak plat logam lalu kakinya tersandung.

Ia menyebabkan jantung jatuh di atas lantai.

Rakaman kejadian menunjukkan anggota bomba dan kakitangan lain bergegas mendapatkan organ itu.

Ia segera dibawa ke bilik pembedahan untuk organ itu segera dipindahkan kepada penerimanya.

Di sebalik insiden itu, kakitangan hospital mengesahkan jantung itu selamat dipindahkan kepada individu berkenaan.

Dalam pada itu, jurucakap pihak berkuasa berkata, ketika kejadian, ada tiga individu menaiki helikopter terbabit.

Bagaimanapun, hanya juruterbang dirawat kerana cedera ringan.

Punca helikopter terhempas masih dalam siasatan.