Jarak diri atau denda 500 Euro

Berlin: Kerajaan Jerman akan mendenda 500 Euro (RM2,354) kepada individu yang dikesan tidak menjarakkan diri sebagai langkah mengekang Covid-19.

Jakarta Post melaporkan, kerajaan juga mengeluarkan arahan supaya rakyatnya tidak keluar dari rumah selain daripada membeli barangan keperluan dan temu janji kesihatan.

Perhimpunan yang melebihi dua orang juga tidak dibenarkan dan seseorang itu perlu menjarakkan diri sekurang-kurangnya 1.5 meter, antara satu sama lain, pada setiap masa.

Kerajaan tempatan diberikan kuasa untuk menyaman mereka yang melakukan kesalahan dan mengenakan denda itu di sini.

Arahan sama juga turut terpakai kepada 16 negeri lain di Jerman.

Negeri terbesar di Jerman, Bavaria kini paling terjejas dengan Covid-19 selepas mencatat 18,000 kes.

Orang ramai beratur dengan jarak yang ditetapkan kerajaan kini menjadi pemandangan biasa di pasar raya dan farmasi di Jerman.

Setakat semalam, Jerman sudah merekodkan 79,000 kes Covid-19 dengan lebih 1,000 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19