Jasad duduk dilarang ke dewan

Port of Spain: Jasad dalam keadaan duduk dihalang menyertai upacara pengebumian.

Itu kejadian menimpa seorang lelaki mangsa bunuh, Che Lewis yang menjadi mangsa proses pengawetan secara ekstrem.

Ia selepas jasad Che, 29, tiba dalam keadaan duduk di kerusi tidak seperti jasad lain dibawa dalam keranda.

Video dan gambar Che yang dipakaikan seluar putih dan sut merah jambu duduk di luar dewan upacara majlis pengebumian itu, menjadi tular di media sosial dengan ada yang mengecam tidak menghormati si mati.

Che dan bapanya, Adlay Lewis, 54, mati ditembak di rumah mereka di Diego Martin pada 15 November lalu.

Jasad Che dibawa ke gereja dalam keadaan duduk di kerusi selepas mayatnya diawet dalam posisi berkenaan berbanding jasad Adlay dalam keranda.

Pemilik Dennie’s Funeral Home berkata, mereka hanya menunaikan permintaan keluarga si mati.

“Keluarga mereka meminta kami melakukan pengawetan seperti itu. Ia bukan permintaan pelik bagi kami kerana terdapat pengebumian seumpama itu di negara lain,” katanya.