Jepun, Australia, India tingkat sistem bekalan produk

Tokyo: Jepun, Australia dan India pada Selasa sepakat untuk meningkatkan sistem bekalan produk ekoran risiko gangguan rantaian bekalan produk dan komponen akibat penularan wabak Covid-19.

Ketiga-tiga negara itu berharap dapat mempelbagaikan rantaian bekalan di samping meningkatkan daya saing industri, lapor Jiji Press.

Dalam kenyataan bersama selepas persidangan video, menteri ekonomi ketiga-tiga negara itu “menekankan keperluan serta potensi meningkatkan daya tahan rantaian bekalan di rantau Indo-Pasifik.”

Negara berkenaan juga mengesahkan untuk mempertimbangkan bagi mendigitalkan prosedur perdagangan dan mempromosikan pelaburan dalam mewujudkan rantaian bekalan baharu.

Mereka juga bersetuju meminta anggota ASEAN untuk menyertai inisiatif itu.

Jepun dan anggota ASEAN sudah memulakan langkah yang sama.

“Kita perlu mempelbagaikan sumber bekalan kerana kita sudah melihat betapa rapuhnya rantaian bekalan semasa krisis COVID-19,” kata Menteri Ekonomi dan Perdagangan Jepun, Hiroshi Kajiyama, yang menjadi tuan rumah sesi persidangan video itu.