Jerman cadang rebat cukai pekerja bekerja dari rumah

Frankfurt: Jerman mempertimbang untuk memperkenalkan rebat cukai untuk individu yang bekerja dari rumah ketika penularan pandemik Covid-19.

Langkah itu bertujuan untuk menangani kenaikan kos elektrik dihadapi pekerja termasuk bagi penggunaan alat pemanas dan bil utiliti lain.

Kerajaan pimpinan Canselor Angela Merkel berkata, pihaknya sudah bersetuju dengan cadangan supaya individu yang bekerja dari rumah dikenakan rebat sehingga lima Euro (kira-kira RM24) setiap hari, bagi dengan potongan maksimum sehingga 600 Euro (kira-kira RM2,927) setahun.

Menteri Kewangan Olaf Scholz berkata, cadangan itu akan dibentangkan untuk kelulusan Parlimen pada bulan ini dan memberi manfaat besar kepada pekerja.

Beliau berkata, ia bukan cabaran kewangan yang besar kepada kerajaan.

Berdasarkan undang-undang percukaian sedia ada di Jerman, bekerja di rumah ditakrifkan dengan sebuah bilik di rumah digunakan khusus sebagai pejabat.

Bagaimanapun, berikutan pandemik Covid-19, jutaan pekerja kini terpaksa bekerja di ruang tamu dan dapur rumah, dan ia memerlukan penambahbaikan terhadap undang-undang berkenaan.

Berdasarkan satu kajian institut Ifo, kira-kira 56 peratus daripada pekerja di Jerman bakal kekal bekerja dari rumah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19