Jet pejuang AS pintas pesawat Iran

Tehran: Sebuah pesawat komersial Iran terpaksa mendarat cemas di sebuah lapangan terbang di Beirut selepas dipintas jet pejuang Amerika Syarikat (AS).

Media tempatan melaporkan pesawat Mahan Airlines itu terpaksa berbuat demikian untuk mengelakkan perlanggaran dengan jet AS itu.

Sebaik mendarat, lebih 150 penumpangnya terpaksa dipindahkan.

Sumber lapangan terbang memberitahu agensi berita Xinhua, beberapa penumpang cedera dalam insiden pada Khamis itu.

Agensi berita SANA yang memetik sumber Jabatan Penerbangan Awam Syria berkata, dua pesawat perang gabungan antikeganasan dipimpin AS memintas kapal terbang Iran di kawasan al-Tanf di tenggara Syria.

Ketika itu, pesawat berkenaan dalam perjalanan dari Iran ke Lubnan.

Kehadiran jet pejuang itu memaksa juruterbang terbang rendah menyebabkan beberapa penumpang mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, pesawat itu meneruskan penerbangannya ke Beirut, kata SANA.

Rakaman video yang tular di media sosial, menunjukkan penumpang cemas dan menjerit.

Kejadian itu pertama kali berlaku di Syria namun ia dilihat akan menambahkan lagi ketegangan hubungan antara AS dan Iran.

Sementara itu, seorang wartawan televisyen Iran yang kebetulan berada di dalam pesawat, mengesahkan jet pejuang menghampiri kira-kira 100 meter dengan kapal terbang penumpang itu, adalah milik Israel.