Jetman maut dalam kemalangan

Dubai: Vince Reffet yang menjadi antara pasukan ‘Jetman’ yang sering melakukan aksi lagak ngeri dengan menggunakan sut khas dan sayap gentian karbon, terbunuh ketika sesi latihan di sini.

Lelaki warga Perancis itu, sebelum ini, sering melakukan aksi dramatik dengan terbang di bandar negara Teluk itu, termasuk di sekitar bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa dan terbang beriringan dengan pesawat komersial terbesar dunia, Emirates Airbus A380.

“Dukacita dimaklumkan bahawa bahawa juruterbang Jetman Vincent (Vince) Reffet meninggal dunia,” kata jurucakap Jetman Dubai, Abdulla Binhabtoor kepada AFP.

Kemalangan itu yang berlaku di pangkalan Jetman di sebuah gurun di luar bandar, kini dalam siasatan.

Aksi Reffet awal tahun ini, tular, dengan video memaparkan dia terbang ke paras 1,800 meter (m) ke udara, di persisiran pantai Dubai dan ia seakan babak dalam filem Iron Man.

Lelaki itu berlegar-legar kira-kira lima m di permukaan laut sebelum terbang ke pusat bandar.

Bagi melakukan aksi itu, dia akan dilancarkan ke udara menerusi platform pada ketinggian tertentu.

Sayap gentian karbon yang digunakannya dikuasakan dengan empat enjin jet mini. Peralatan itu mampu mencecah kelajuan sehingga 400 kilometer sejam.